Di bawah pimpinan Nehemia, orang Israel membina semula tembok di sekeliling bandar Yerusalem. Ketika tembok itu hampir separuh siap, mereka mendengar khabar bahawa musuh mereka sedang merancang untuk menyerang Yerusalem. Khabar ini melemahkan semangat para pekerja yang sudah berasa sangat penat.

Nehemia harus bertindak. Pertama sekali, dia berdoa dan menugaskan ramai pengawal di tempat-tempat yang strategik. Kemudian, dia memberikan senjata kepada mereka. “… mereka yang mengangkat bahan binaan pun bekerja dengan satu tangan, dan membawa senjata dengan tangan sebelah. Tiap-tiap orang yang bekerja dalam pembinaan membawa sebilah pedang yang terikat pada pinggangnya” (Nehemia 4:17-18).

Kita yang membina kerajaan Tuhan harus sentiasa bersedia untuk melawan serangan daripada musuh rohani kita, Iblis. Perlindungan kita adalah pedang Roh, iaitu firman Tuhan. Apabila kita menghafal firman Tuhan serta menghayatinya, kita pasti dapat “mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat” (Efesus 6:11). Jika kita berfikir bahawa bekerja untuk Tuhan adalah tidak penting, kita harus berpegang kepada janji yang mengatakan bahawa setiap perkara yang kita lakukan untuk Yesus akan bertahan untuk selama-lamanya (1 Korintus 3:11-15). Jika kita takut dan berfikir bahawa Tuhan tidak akan memakai kita kerana dosa besar kita, kita mesti ingat tentang kuasa pengampunan daripada darah Yesus (Matius 26:28). Jika kita masih risau tentang kegagalan yang mungkin menimpa semasa kita melayani Tuhan, kita harus ingat bahawa Yesus berkata, kita pasti akan berbuah sekiranya kita tetap bersatu dengan Dia (Yohanes 15:5).

Firman Tuhan ialah pelindung agung kita!