Pada zaman saya membesar, salah sebuah buku kegemaran saya ialah Anne of Green Gables yang ditulis oleh Lucy Maud Montgomery. Ada satu bahagian yang agak lucu dalam buku itu. Anne, iaitu watak yang masih kecil secara tidak sengaja telah menambah ubat kulit ke dalam kek yang sedang dibuatnya, bukan esen vanila. Selepas itu, ketika berhadapan dengan Marilla, penjaganya yang berwajah serius, dia berkata dengan penuh harapan, “Alangkah baiknya sekiranya kita berfikir bahawa hari esok adalah hari yang baru tanpa sebarang kesilapan?”

Saya suka pemikiran itu: hari esok ialah hari baru—hari yang kita mendapat permulaan yang segar. Semua orang melakukan kesilapan. Tetapi apabila kita berdosa, pengampunan Tuhan yang membolehkan kita memulakan setiap pagi dengan permulaan yang baru. Apabila kita bertaubat, Dia tidak mengingat lagi dosa kita (Yeremia 31:34; Ibrani 8:12).

Walaupun kita sudah membuat pilihan yang salah dalam hidup, tetapi bagi Tuhan, kata-kata serta perbuatan kita pada masa lalu tidak semestinya membentuk masa depan kita. Permulaan yang baru sentiasa ada. Apabila kita memohon pengampunan-Nya, kita sudah mengambil langkah pertama untuk memulihkan perhubungan kita dengan Dia dan orang lain. “Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah” (1 Yohanes 1:9).

Kasih Tuhan dan kesetiaan-Nya selalu baru setiap pagi (Ratapan 3:23), jadi kita mendapat permulaan yang baru setiap hari.