Pada waktu tengah hari yang panas, Yesus berehat di pinggir perigi Yakub setelah berada dalam perjalanan yang jauh dan amat penat, manakala para pengikut-Nya pergi ke bandar Sikhar untuk mendapatkan makanan. Masa itu seorang wanita telah datang dari bandar untuk mengambil air … dan dia bertemu dengan Penyelamatnya. Kejadian ini memberitahu kita bahawa wanita itu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar untuk datang melihat “orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan” (Yohanes 4:29).
Para pengikut-Nya kembali dengan membawa makanan. Apabila mereka menjemput Yesus untuk makan, Dia berkata kepada mereka, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku” (ayat 34).
Sekarang saya ingin bertanya kepada anda: Apakah pekerjaan yang dilakukan oleh Yesus? Dia cuma berehat dan menunggu di tepi perigi.
Saya menemukan dorongan hebat melalui cerita ini kerana saya sendiri hidup dengan keterbatasan fizikal. Ayat ini mengingatkan saya bahawa saya tidak perlu bergerak ke sana ke mari, atau berasa bimbang kerana tidak dapat melakukan kehendak dan melaksanakan pekerjaan-Nya. Pada peringkat hidup saya ini, saya boleh sahaja berehat dan menantikan Dia membawa pekerjaan-Nya kepada saya.
Begitu juga, pangsapuri anda yang kecil, kubikel tempat kerja anda, sel penjara anda atau katil hospital anda boleh menjadi seperti “perigi Yakub,” iaitu tempat untuk berehat dan menantikan Bapa mempercayakan pekerjaan-Nya kepada anda. Siapakah agaknya orang yang akan dibawa oleh-Nya kepada anda pada hari ini?