Pemberita yang berpengalaman, Scott Pelley tidak pernah menjalankan tugas tanpa membawa barang-barang keperluannya—sebuah radio gelombang pendek, kamera, beg pakaian tahan lasak, komputer riba, telefon dan sebuah penunjuk isyarat kecemasan yang boleh digunakan di mana-mana tempat. “Panjangkan antena, tekan dua butang, dan ia akan menghantar isyarat kepada sebuah satelit yang dihubungkan kepada Jabatan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (National Oceanic and Atmospheric Administration),” kata Pelley. “Isyarat itu akan memberitahu mereka identiti saya dan tempat yang saya berada. Kemudian berdasarkan negara yang anda berada, mereka akan membuat keputusan untuk menghantar pasukan penyelamat—atau tidak” (majalah AARP The Magazine). Pelley belum pernah menggunakan penunjuk isyarat tersebut, tetapi dia tidak pernah lupa untuk membawanya.

Walau bagaimanapun, dalam perhubungan kita dengan Tuhan, kita tidak memerlukan radio, telefon, mahupun penunjuk isyarat. Bagaimana bahaya sekalipun akan situasi kita, Dia mengenal siapa kita dan mengetahui tempat yang kita berada. Si pemazmur menyedari bahawa perkara ini semasa menulis, “Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku … Engkau mengetahui segala perbuatanku” (Mazmur 139:1-3). Keperluan kita tidak pernah tersembunyi daripada Tuhan, dan kita tidak pernah terpisah daripada penjagaan-Nya.

Pada hari ini, kita dapat mengatakan dengan yakin, “Jika aku terbang ke ufuk timur, atau tinggal di hujung barat yang paling jauh, di sana juga Engkau akan memimpin aku, dan di sana pun Engkau akan menolong aku” (ayat 9-10).

Tuhan mengenal siapa kita, mengetahui tempat yang kita berada, dan apa yang kita perlukan. Kita sentiasa berada dalam penjagaan-Nya.