“Saya fikir Tuhan itu tidak baik,” kata rakan wanita saya. Sudah sekian lama dia berdoa untuk beberapa perkara yang sukar, namun doanya belum terjawab. Kemarahan dan kepahitannya terhadap Tuhan yang seolah-olah membisu semakin bertambah. Oleh sebab saya mengenali dia dengan baik, saya dapat merasakan bahawa di lubuk hatinya, dia masih percaya akan kebaikan Tuhan. Namun kesengsaraan yang berpanjangan di dalam hatinya, serta sikap Tuhan yang seolah-olah tidak ambil peduli telah menyebabkan keraguannya. Lagipun, lebih mudah untuk melepaskan kemarahan daripada menanggung kesedihan.

Keraguan atas kebaikan Tuhan adalah perkara lama yang sudah dialami sejak zaman Adam dan Hawa (Kejadian 3). Ular mempengaruhi Hawa dengan mengatakan bahawa Tuhan melarang Hawa makan buah itu kerana “Dia tahu bahawa jika kamu makan buah itu, fikiran kamu akan terbuka; kamu akan menjadi seperti Allah dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat” (ayat 5). Dalam keangkuhan, Adam dan Hawa berfikiran bahawa mereka yang sepatutnya menentukan apa yang baik untuk mereka dan bukannya Tuhan.

Bertahun-tahun selepas kematian anak perempuannya, James Bryan Smith hanya dapat mengakui kebaikan Tuhan. Dalam bukunya yang bertajuk The Good and Beautiful God, Smith menulis, “Kebaikan Tuhan bukanlah sesuatu yang dapat saya tentukan. Saya cuma manusia biasa dengan pemahaman yang terbatas.” Komen Smith yang menakjubkan ini bukanlah sesuatu yang naif; tetapi ia terhasil daripada masa bertahun-tahun sewaktu dia berkabung dan mencari kehendak Tuhan.

Pada waktu kekecewaan, marilah kita saling mendengar dan saling membantu untuk memahami kebenaran bahawa Tuhan sememangnya baik.