Saya mula belajar melafazkan the Lord’s Prayer(Doa Bapa Kami)sejak zaman sekolah rendah. Setiap kali saya membaca baris “Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini” (Matius 6:11), saya selalu teringat tentang roti yang kadang-kadang kami nikmati di rumah. Hanya apabila bapa saya kembali dari bandar, barulah kami akan mendapat sebuku roti. Oleh itu, permohonan kepada Tuhan untuk makanan harian merupakan doa yang relevan bagi saya.

Bertahun-tahun kemudian, saya mendapat tahu tentang buku Pedoman Harian versi bahasa Inggeris, Our Daily Bread. Saya tahu bahawa tajuknya berasal daripada Doa Bapa Kami, tetapi saya juga tahu semestinya ia bukan menceritakan tentang roti yang datang dari kedai roti. Saya mendapat tahu, setelah tekun membaca buku kecil ini, bahawa “roti” ini penuh dengan ayat-ayat Alkitab serta nota-nota yang amat membantu, yakni makanan rohani untuk jiwa.

Maria telah memilih makanan rohani apabila dia duduk dekat kaki Yesus dan mendengarkan ajaran-Nya dengan penuh perhatian (Lukas 10:39). Sementara Marta menjadi sangat letih kerana dia memikirkan makanan fizikal, Maria pula mengambil masa untuk mendekati tetamu mereka, Tuhan Yesus, dan mendengarkan-Nya. Semoga kita juga mengambil waktu seperti itu. Dia adalah Roti yang memberikan hidup (Yohanes 6:35), dan mengenyangkan hati kita dengan makanan rohani. Dia adalah Roti yang dapat memuaskan keperluan kita.