Baru-baru ini saya membaca satu artikel yang menerangkan ciri-ciri karya sastera yang baik. Penulis artikel itu mencadangkan bahawa sesebuah karya sastera yang hebat dapat “mengubah anda. Apabila anda siap membacanya, anda akan menjadi orang yang berbeza.”

Justeru itu, firman Tuhan akan sentiasa diklasifikasikan sebagai karya sastera yang hebat, kerana membaca Alkitab boleh mencabar kita menjadi lebih baik. Cerita mengenai watak-watak dalam Alkitab memberi inspirasi kepada kita agar menjadi berani dan tidak berputus asa. Buku-buku mengenai kebijaksanaan dan bersifat nubuat dalam Alkitab memberi amaran kepada kita tentang bahaya hidup dalam dosa. Tuhan berfirman melalui pelbagai penulis untuk mencatatkan mazmur yang dapat mengubah hidup demi kebaikan kita. Ajaran Yesus membentuk keperibadian kita agar kita semakin menjadi seperti Dia. Catatan Paulus mengarahkan fikiran serta kehidupan kita untuk hidup dalam kekudusan. Apabila Roh Kudus mengingatkan kita akan firman Tuhan, ia menjadi saluran perubahan yang berkuasa dalam hidup kita.

Penulis Mazmur 119 mencintai firman Tuhan kerana ia mempunyai pengaruh yang mengubah kehidupannya. Dia mendapati bahawa firman zaman purba yang diperturunkan oleh Musa telah menjadikan dia bijak dan lebih mengerti daripada guru-gurunya (ayat 99). Ia menjauhkan dia daripada segala kelakuan jahat (ayat 101). Patutlah dia berseru, “Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari” dan “Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu!” (ayat 97, 103).

Semoga kita mencintai karya sastera yang hebat ini, terutamanya kuasa daripada firman Tuhan yang dapat mengubah hidup!