Saya suka Reepicheep, seekor tikus watak rekaan C. S. Lewis yang berani dan boleh bercakap dalam siri Chronicles of Narnia. Kerana dia berazam pergi ke “Timur di hujung dunia” untuk menyertai pasukan Aslan, raja singa [simbolik Kristus] yang hebat, Reepicheep berkata: “Kalau mampu, saya akan belayar ke Timur dalam kapal Dawn Treader. Jika kapal itu tidak dapat sampai destinasi saya, saya akan mengayuh ke Timur dalam coracle (bot kecil) saya. Sekiranya ia tenggalam, saya akan mendayung ke Timur dengan menggunakan keempat-empat kaki saya. Seterusnya, apabila saya tidak mampu lagi berenang, mahupun belum sampai ke Negara Aslan, saya akan mengarah ke ufuk matahari terbit walaupun tenggelam.”

Paulus menerangkan ketekadan dengan cara ini: “Aku berlari terus ke arah tujuanku” (Filipi 3:14). Matlamatnya adalah menjadi seperti Yesus. Tiada perkara lain yang lebih penting baginya. Dia mengaku bahawa dia masih mempunyai banyak keterbatasan, tetapi dia tidak akan berputus asa sehingga dia memenangi hadiah yang merupakan panggilan Yesus.

Tiada seorang pun adalah sempurna, tetapi kita boleh, seperti rasul, berusaha gigih dan berdoa untuk mencapai matlamat kita. Seperti Paulus, kita akan selalu berkata, “Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan … ” Namun demikian, meskipun kita lemah, gagal, dan penat, kita mesti berusaha dengan sungguh-sungguh (ayat 12). Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada Tuhan. Kita tidak dapat melakukan apa-apa tanpa Dia!

Tuhan menyertai anda, memanggil anda untuk terus ke hadapan. Teruskan mendayung!