Rut merupakan orang asing. Dia seorang balu. Dia miskin. Di kebanyakan tempat di dunia zaman sekarang, dia akan dianggap sebagai orang yang tidak penting—seseorang yang tiada masa depan.

Walau bagaimanapun, Rut disenangi oleh saudara mendiang suaminya, seorang pengusaha yang kaya dan pemilik ladang yang Rut meminta kebenaran untuk memungut saki-baki biji tuaian. Kerana kebaikan Boas, Rut bertanya, “Mengapakah tuan mengambil berat terhadap saya dan begitu baik terhadap saya? Saya hanya seorang bangsa asing!” (Rut 2:10).

Boas, lelaki baik yang menunjukkan belas kasihan kepada Rut, menjawab soalannya dengan jujur. Dia telah mendengar tentang perbuatan baik Rut terhadap ibu mentuanya Naomi, malah dia memilih untuk meninggalkan negerinya serta mengikuti Tuhan Naomi. Boas berdoa kepada Tuhan, “kerana [Rut] telah datang untuk berlindung kepada-Nya”, semoga Tuhan memberkati dia (Rut 1:16; 2:11-12; lihat Mazmur 91:4). Sebagai saudara dekat yang bertanggungjawab terhadap hidup (Rut 3:9), apabila Boas mengahwininya, Boas menjadi pelindungnya dan dia sendiri juga menjadi berkat Rut.

Seperti Rut, dahulu kita juga adalah orang asing dan jauh daripada Tuhan. Mungkin kita terfikir sebab Tuhan memilih untuk mengasihi kita walaupun kita tidak layak untuk dikasihi. Tuhan yang mempunyai jawapannya, “Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa” (Roma 5:8). Kristus sudah menjadi Penebus kita. Apabila kita datang kepada Dia kerana penyelamatan-Nya, kita sudah berada di bawah jagaan sayap-Nya.