Pada suatu hari yang cerah, saya sedang berjalan di sebuah taman dan berasa letih di dalam roh saya. Saya berasa bahawa bukan cuma satu perkara yang membebani saya—tetapi seakan-akan segala perkara. Ketika saya berhenti dan duduk di sebuah bangku, di situ saya melihat satu plak besi yang mengenang “suami, bapa, abang dan kawan yang setia.” Kepingan besi itu juga terukir, “Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka seperti burung rajawali, yang terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak lelah; mereka akan berjalan dan tidak menjadi lemah (Yesaya 40:31).

Tuhan sendiri telah membawa penghiburan kepada saya melalui ayat Akitab ini yang kita biasa tahu. Keletihan—baik itu berbentuk fizikal, emosi atau rohani—boleh sahaja menyerang kita. Yesaya memperingati kita bahawa walaupun kita berasa letih, “TUHAN ialah Allah yang kekal; Dialah yang menciptakan seluruh bumi. Dia tidak pernah letih atau lesu” (ayat 28). Begitu mudahnya saya lupa bahawa dalam segala keadaan, “Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya” (ayat 29).

Bagaimanakah keadaan anda pada hari ini? Jika keletihan telah menyebabkan anda melupakan hadirat dan kuasa Tuhan, berhentilah sejenak dan ingat akan janji-Nya. “Tetapi orang yang berharap kepada TUHAN akan mendapat kekuatan baru” (ayat 31). Di sini. Pada saat ini. Di mana sahaja anda berada.