Sewaktu saya berjalan di kawasan perumahan saya di utara kota London, saya terdengar perbualan dalam pelbagai bahasa—Poland, Jepun, Hindi, Croatia dan Itali. Kepelbagaian ini terasa seperti di syurga, walaupun saya tidak memahami apa yang dikatakan mereka. Apabila saya masuk ke sebuah kedai minum di Rusia atau pasar raya di Poland, saya mendengar bahasa dan loghat yang berbeza, lalu saya berfikir betapa indahnya pada hari Pentakosta apabila orang dari pelbagai negeri dapat memahami apa yang dikatakan oleh pengikut-pengikut Yesus.

Pada hari itu, pelawat dari luar datang ke Yerusalem untuk merayakan perayaan penuaian. Orang percaya dikuasai oleh Roh Kudus. Ketika mereka sedang berkata-kata, orang ramai yang berasal dari seluruh dunia dapat memahami mereka dalam bahasa sendiri (Kisah Rasul-Rasul 2:5-6). Ia merupakan suatu mukjizat apabila pelawat-pelawat ini dapat memahami kata-kata pujian yang diluahkan oleh pengikut-pengikut Yesus kepada Tuhan dalam bahasa masing-masing! Ramai yang terdorong dan ingin lebih mengenal Yesus.

Mungkin kita tidak bercakap atau memahami banyak bahasa, tetapi kita tahu bahawa Roh Kudus melengkapi kita untuk berhubung dengan orang lain dalam pelbagai cara. Kita merupakan tangan, kaki dan mulut Tuhan untuk mengembangkan misi-Nya. Pada hari ini, bagaimanakah kita dapat menjangkau orang yang berbeza daripada kita dengan pertolongan Roh Kudus?