Chris Baker ialah seorang pelukis tatu yang mengubah simbol kesakitan dan penghambaan menjadi karya seni yang indah. Kebanyakan pelanggannya merupakan bekas gengster dan mangsa pemerdagangan manusia yang telah ditandai dengan nama, simbol atau kod pada badan mereka. Chris mengubah tatu-tatu lama ini menjadi ukiran yang cantik, dengan menambahkan tatu baharu.
Sebagaimana Chris membuat perubahan pada kulit seseorang, Yesus pula membawa perubahan baharu pada jiwa manusia. Dia menerima kita seadanya dan mengubah kita. Alkitab berkata, “Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula” (2 Korintus 5:17). Sebelum kita mengenal Kristus, kita mengikuti keinginan sendiri dan menjalani gaya hidup yang sesuka hati. Namun, apabila kita bertaubat dan mula berjalan dengan Kristus, “hidup yang lama” (1 Korintus 6:9-11), iaitu keinginan dan kegagalan yang dahulunya mengikat kita akan mula hilang. “Semua itu dilakukan oleh Allah. Melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya” (2 Korintus 5:18).
Namun, hidup sebagai “manusia baru” tidak selalunya mudah. Kita memerlukan masa untuk memutuskan tabiat lama. Kita juga mungkin bergelut dengan corak pemikiran yang berasaskan cara hidup yang lama. Namun Roh Kudus yang bekerja di dalam kita akan memberi kita kekuatan dalaman dan pengertian tentang kasih Kristus. Sebagai ciptaan Tuhan yang baharu, kita telah menerima kebebasan untuk melupakan apa yang di belakang kita.