Saya terpegun dengan frasa yang dipetik daripada Alkitab terjemahan kontemporari. Apabila saya melayari Google untuk mencari frasa “cara hidup kita” di dalam Alkitab, kebanyakan hasilnya berfokus pada perkara yang sedang mengancam gaya hidup yang diharapkan oleh kebanyakan orang. Antara semua ancaman ini, yang paling ketara ialah ancaman daripada perubahan iklim, pengganas dan polisi-polisi kerajaan.

Saya tertanya-tanya, “Apakah cara hidup kita yang sebenar sebagai pengikut Yesus?” Adakah itu sekadar perkara yang membuat kita berasa selesa, sejahtera dan gembira, atau perkara-perkara yang lain?

Paulus memperingatkan orang Kristian di Efesus tentang cara Tuhan yang luar biasa dalam mengubah kehidupan mereka. “Tetapi Allah sangat berbelas kasihan dan Dia sangat mengasihi kita, sehingga sementara kita mati secara rohani kerana pelanggaran kita, Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus. Kamu sudah diselamatkan oleh rahmat Allah” (Efesus 2:4-5). Hasilnya, “kita ciptaan Allah dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah telah menjadikan kita untuk mengamalkan perbuatan baik, yang sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan” (ayat 10).

Perbuatan baik, menolong orang lain, memberi, mengasihi dan melayani dalam nama Yesus—inilah cara hidup kita. Kesemua tindakan ini bukan suatu aktiviti pilihan bagi orang percaya, Tuhan menginginkan kita melakukan tindakan tersebut kerana Dia telah memberikan kita hidup di dalam Kristus.

Di dunia ini yang selalu berubah, Tuhan telah memanggil dan menguatkan kita supaya kita menjalani kehidupan yang membantu orang lain dan memuliakan Dia.