Setiap kali sebelum saya bertemu dengan sekumpulan pelajar universiti yang baru untuk kelas esei yang saya ajar, saya sudah mengenal nama mereka. Saya membiasakan diri dengan nama dan gambar para pelajar saya supaya apabila mereka masuk ke dalam kelas, saya dapat mengecam mereka dan berkata, “Helo Jessica” atau “Selamat datang, Trevor.” Saya melakukan ini kerana saya tahu bahawa itu sangat bermakna apabila orang mengenal dan memanggil kita menurut nama kita.
Namun untuk benar-benar mengenal seseorang, kita harus mengenal lebih daripada setakat nama mereka. Dalam Yohanes 10, kita dapat melihat kasih dan keprihatinan Yesus, Gembala yang Baik, apabila kita membaca Dia “memanggil nama setiap ekor domba” (ayat 3). Dia bukan sahaja mengetahui nama kita, malah Dia mengetahui fikiran, keinginan, ketakutan, kesalahan dan keperluan kita. Oleh sebab Dia tahu keperluan kita yang paling utama, Dia telah memberikan kita hidup—iaitu hidup yang kekal—dengan menyerahkan nyawa-Nya sendiri. Seperti yang dikatakan-Nya dalam ayat 11, Dia “mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya.”
Dosa kita memisahkan kita daripada Tuhan. Oleh itu Yesus, iaitu Gembala yang Baik menjadi Anak Domba dan mengorbankan diri-Nya, serta memikul dosa-dosa kita. Apabila Dia memberikan nyawa-Nya untuk kita dan dibangkitkan daripada kematian, Dia telah menebus kita. Justeru itu, apabila kita menerima hadiah penyelamatan-Nya dengan percaya kepada Dia, kita tidak akan lagi terpisah daripada-Nya.
Bersyukurlah kepada Yesus! Dia mengenal nama dan mengetahui keperluan anda!