Dalam sebuah konsert, David Wilcox sebagai seorang penyanyi dan penggubah lagu menjawab satu soalan penonton tentang cara dia menggubah lagu. Dia berkata bahawa terdapat tiga aspek dalam proses itu: sebuah bilik yang sunyi, sehelai kertas kosong, dan soalan kepada diri sendiri, “Apakah yang perlu saya pelajari?” Saya terpegun akan soalan seperti ini, kerana ini merupakan satu cara yang baik untuk para pengikut Yesus apabila kita mencari rancangan Tuhan untuk kehidupan kita setiap hari.
Sepanjang pelayanan Yesus di kalangan orang ramai, Dia mengambil masa untuk berdoa seorang diri. Selepas Yesus memberikan lima ketul roti dan dua ekor ikan kepada lima ribu orang, Dia menyuruh para pengikut-Nya “naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang” (Matius 14:22). “Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ” (ayat 23).
Sekiranya Tuhan Yesus mengutamakan keperluan untuk bersendirian dengan Bapa-Nya, apalagi kita yang memerlukan masa bersendirian setiap hari untuk meluahkan hati kepada Tuhan, merenungkan firman-Nya, dan bersedia untuk mengikuti pimpinan-Nya.” Bilik yang sunyi—tempat yang kita dapat memberi tumpuan kepada Tuhan tanpa gangguan. Kertas kosong—fikiran yang terbuka, halaman yang kosong, kerelaan untuk mendengar. Apakah yang perlu saya pelajari? “Tuhan, beritahulah saya melalui Roh-Mu, firman-Mu, serta keyakinan akan pimpinan-Mu.”
Dari kawasan lereng bukit yang sunyi, Yesus turun ke angin badai yang dahsyat, mengetahui dengan jelas apa yang perlu dilakukan-Nya mengikut kehendak Bapa-Nya (ayat 24-27).