Kita mungkin akan tergoda untuk memikirkan iman sebagai suatu formula magis. Sekiranya anda mengumpulkan secukupnya, anda akan menjadi kaya, kekal sihat, serta menjalani hidup yang penuh kepuasan, dan segala doa anda akan dikabulkan. Namun hidup kita tidak selaras dengan formula-formula yang teratur ini. Sebagai buktinya, penulis kitab Ibrani menunjukkan peringatan yang merangsang, mengenai “iman benar” dengan memerhatikan kehidupan orang yang beriman kuat dalam Perjanjian Lama (Ibrani 11).

“Tanpa iman,” penulis berkata secara terus-terang, “tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah” (11:6). Ketika menerangkan iman, dia menggunakan perkataan “bertahan” (ayat 27, Alkitab TB). Kesan daripada iman mereka, sesetengah perwira mencapai kemenangan: Mereka mengalahkan pasukan-pasukan bangsa asing, menyelamatkan diri daripada tikaman pedang, menutup mulut singa. Namun orang lain tidak berakhir dengan baik: Mereka dirantai, direjam, dipotong menjadi dua dengan gergaji. Fasal itu menyimpulkan, “Alangkah besarnya kejayaan yang dicapai oleh semua orang itu kerana iman mereka! Namun mereka tidak menerima apa yang dijanjikan oleh Allah” (ayat 39).

Gambaran tentang iman tidak boleh dijelaskan oleh formula yang mudah. Kadangkala iman mendatangkan kemenangan dan kejayaan. Kadangkala iman pula memerlukan satu keazaman yang tekal untuk “bertahan tidak kira apa pun.” Bagi orang seperti ini, “Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka” (ayat 16).

Kekuatan iman kita berasal daripada kepercayaan bahawa Tuhan mempunyai kuasa sepenuhnya dan pasti akan menepati perjanjian-Nya—sama ada berlaku dalam era ini atau pada masa akan datang.