Setiap tahun, kira-kira dua juta orang di seluruh dunia akan melawat Katedral Santo Paulus di London. Bayaran masuk ke dalam bangunan ini adalah begitu berbaloi kerana pelawat dapat melihat kehebatan rekaan struktur gereja yang direka dan dibina oleh Sir Christopher Wren (seorang arkitek Inggeris yang disanjung tinggi dalam sejarah) pada akhir kurun ke-17. Namun pembinaan tempat ibadat ini bukan untuk menarik pelancong. Misi utama bagi gereja besar ini adalah “membolehkan orang yang datang dari pelbagai tempat dapat mengalami hadirat Tuhan yang membawa perubahan hidup melalui Yesus Kristus.” Sekiranya anda ingin melawat bangunan ini dan menyaksikan seni bina, anda dikehendaki membayar bayaran masuk. Namun tiada bayaran masuk dikenakan untuk sesiapa yang menghadiri kebaktian harian di katedral tersebut.
Berapakah harganya untuk memasuki kerajaan Tuhan? Kemasukan adalah percuma kerana Yesus Kristus telah membayar harga itu untuk kita dengan kematian-Nya. “Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka” (Roma 3:23-24). Apabila kita mengakui keperluan rohani kita dan menerima pengampunan Tuhan atas dosa kita dengan iman, kita mempunyai hidup yang baru dan kekal dalam Dia.
Anda boleh memulakan kehidupan yang baru pada hari ini, kerana, dengan kematian-Nya pada kayu salib dan kebangkitan-Nya daripada kematian, Yesus telah melunaskan bayaran masuk itu!