Sehari sebelum suami saya pulang dari perjalanan perniagaan, anak saya berkata, “Ibu! Saya mahu ayah pulang ke rumah.” Saya bertanya sebabnya, dengan menganggap bahawa dia akan mengatakan sesuatu tentang inginkan hadiah daripada ayahnya seperti biasa atau dia rindu untuk bermain bola dengannya. Tetapi dengan kesungguhan dia menjawab, “Saya mahu ayah pulang rumah kerana saya mengasihi dia!”

Jawapannya membuat saya terfikir tentang Tuhan dan janji-Nya untuk kembali. “Aku akan segera datang!” kata Yesus (Wahyu 22:20). Saya rindu akan kedatangan-Nya, tetapi mengapa saya mahu Dia kembali? Adakah kerana saya akan berada di sisi-Nya, jauh daripada penyakit dan kematian? Adakah kerana saya berasa letih kerana hidup di dunia yang penuh dengan kesusahan? Atau adakah kerana, anda sungguh-sungguh mengasihi Dia kerana hidup yang diberikan-Nya, atau kerana Dia berkongsi tangisan dan gelak ketawa anda, atau kerana segala sesuatu tentang Tuhan terbukti benar dalam kehidupan anda, maka anda mahu bersama-Nya selama-lamanya?

Saya gembira kerana anak saya rindu akan ayahnya apabila dia berjauhan. Alangkah sedihnya jika anak itu langsung tidak mempedulikan kepulangan ayahnya atau jika dia berfikir ayahnya akan mengganggu rancangannya. Bagaimanakah perasaan kita terhadap kepulangan Tuhan? Marilah kita merindukan hari itu dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh mengatakan: “Tuhan, datanglah! Kami mengasihi Engkau.”