Apabila hidup di Britain, saya biasanya tidak bimbang tentang mengalami selaran matahari. Lagipun, matahari sering terhalang oleh awan tebal. Tetapi baru-baru ini saya tinggal di Sepanyol, dengan segera saya menyedari bahawa dengan kulit saya yang putih pucat, saya hanya boleh keluar di bawah sinar matahari selama sepuluh minit dan selepas itu saya perlu mencari teduh di bawah payung.
Apabila saya menanggapi sifat terik matahari di Mediterranean, saya mula memahami dengan mendalam tentang Tuhan sebagai pelindung umat-Nya. Suhu di Timur Tengah adalah sangat tinggi dan panas, penduduk di situ perlu mencari tempat perlindungan daripada sinaran matahari yang akan menyelarkan kulit.
Pemazmur menggunakan gambaran Tuhan sebagai naungan dalam Mazmur 121, yang boleh difahami sebagai sebuah perbualan isi hati—dialog tentang kebaikan dan kesetiaan Tuhan. Apabila kita berdoa dengan menggunakan mazmur ini, kita meyakinkan diri kita bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan kita kerana Dia membentuk penutup yang melindungi kita. Sama seperti kita berlindung daripada matahari di bawah payung, begitu juga kita boleh mencari tempat yang selamat dalam Tuhan.
Marilah kita memandang kepada “TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi” (ayat 1-2), kerana sama ada kita berada di bawah sinaran matahari ataupun pada musim hujan, kita tetap menerima anugerah perlindungan, penghiburan dan penyegaran-Nya.
Lindungilah aku daripada apa pun yang mengalihkan perhatianku daripada-Mu.