Apabila Marshall McLuhan mencipta frasa “the medium is the message” (media adalah mesej) pada tahun 1964, komputer peribadi belum dikenali, telefon bimbit dianggap sebagai fiksyen sains dan Internet belum wujud lagi. Hari ini kita memahami pandangan jauhnya yang hebat dalam meramalkan bagaimana pemikiran kita dipengaruhi pada zaman digital ini. Dalam buku Nicholas Carr, The Shallows: What the Internet Is Doing to Our Brains, dia menulis, “[Media] membekalkan banyak maklumat, tetapi juga membentuk proses pemikiran kita. Internet seolah-olah menyerpihkan keupayaan saya untuk memberi tumpuan dan berfikir. Sama ada saya dalam talian atau tidak, sekarang fikiran saya hanya dapat menyerapkan maklumat seperti Internet mengedarkan maklumat: dalam aliran partikel yang bergerak pantas.”

Saya suka parafrasa J. B. Phillips tentang mesej Paulus kepada orang Kristian di Roma: “Jangan biar dunia ini membentukkan anda, tetapi biarlah Tuhan membaharui cara anda berfikir secara mendalam, supaya anda dapat mengalami bahawa rancangan Tuhan untuk anda adalah baik, kita sepatutnya mentaati-Nya sehingga bertumbuh menjadi matang” (Roma 12:2). Hal ini sangat relevan pada hari ini, sebagaimana yang kita ketahui bahawa fikiran dan pemprosesan minda kita adalah dipengaruhi oleh dunia kita.

Kita tidak boleh membendung arus maklumat yang menyerang kita, tetapi kita boleh memohon kepada Tuhan setiap hari untuk membantu kita memberi tumpuan kepada-Nya, supaya Dia membentuk pemikiran kita melalui hadirat-Nya dalam kehidupan kita.