Olaudah Equiano (kira-kira tahun 1745-1796) baru berusia 11 tahun ketika dia diculik dan dijual sebagai hamba. Perjalanan hidupnya yang mengerikan bermula dari Afrika Barat ke Hindia Barat, kemudian ke tanah jajahan Virginia, dan akhirnya ke England. Pada usia 20 tahun, dia telah membeli kebebasannya sendiri, namun pengalaman tersebut telah meninggalkan parut yang dalam dari segi emosi dan fizikal kerana dia pernah mengalami layanan yang tidak berperikemanusiaan.
Equiano tidak dapat menikmati kebebasan sendiri kerana dia melihat ramai orang masih diperhambakan, maka dia dengan aktif menceburi satu gerakan untuk menghapuskan perhambaan di England. Dia menulis autobiografinya (dianggap sebagai satu pencapaian selaku seorang bekas hamba yang tidak pernah didengar dalam era itu), iaitu dia menceritakan layanan ngeri yang diterima oleh para hamba.
Ketika Yesus datang, Dia berjuang untuk kita yang hidup di bawah perhambaan dan yang tidak berupaya untuk memperjuangkan diri. Perhambaan kita bukan suatu ikatan rantai yang kelihatan dari luar. Kita dibelenggu oleh kehancuran hidup dan dosa. Yesus berkata: “Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa. Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga. Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas” (Yohanes 8:34-36).
Bagi tempat yang semakin kehilangan kebebasan, firman Yesus lebih perlu diisytiharkan. Kita boleh dibebaskan daripada kesalahan, perbuatan yang memalukan dan keputusasaan kita. Dengan percaya kepada Yesus, kita dapat benar-benar bebas!