Apakah yang anda lakukan dengan kekhuatiran yang anda alami? Adakah anda memendamnya atau melepaskannya kepada Tuhan?

Apabila raja Asyur yang kejam, iaitu Sanherib sedang merancang untuk memusnahkan Yerusalem, dia mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia mengatakan bahawa Yehuda juga akan dimusnahkannya seperti bangsa-bangsa lain. Hizkia membawa surat itu ke Rumah Tuhan di Yerusalem, dan “membentangkan surat itu di hadirat TUHAN” (Yesaya 37:14). Kemudian dia berdoa dan meminta pertolongan daripada Tuhan yang Maha Kuasa.

Tidak lama kemudian, nabi Yesaya mengirim perkhabaran ini daripada Tuhan kepada Hizkia: “Tentang yang telah kaudoakan kepada-Ku mengenai Sanherib, raja Asyur, inilah firman yang telah diucapkan Tuhan” (Yesaya 37:21-22, Alkitab TB). Alkitab memberitahu kita bahawa doa Hizkia dijawab pada malam itu. Tuhan campur tangan secara ajaib, dan memusnahkan tentera musuh di luar gerbang kota. Tentera Asyur tidak pun melepaskan sebatang anak panah (ayat 33). Sanherib meninggalkan Yerusalem dan tidak kembali lagi.

Ada empat perkataan dalam pesanan Tuhan kepada Hizkia – “Tentang yang telah kaudoakan” (Alkitab TB)–menunjukkan kepada kita tempat terbaik untuk ditujui apabila kita berasa khuatir. Oleh sebab Hizkia berpaling kepada Tuhan, Dia menyelamatkannya serta rakyatnya. Apabila kita mengubah kekhuatiran kita kepada doa, kita mendapati bahawa Tuhan setia dalam perkara yang tidak dijangkakan!