Saya dan isteri saya Carolyn pertama kali bertemu dengan Phipps Festus Bourne pada tahun 1995 di kedainya yang terletak di Mabry Hill, Virginia. Bourne yang meninggal dunia pada tahun 2002 merupakan seorang tukang kayu yang sangat mahir. Ukirannya hampir mirip dengan objek yang benar. “Pengukiran seekor itik adalah senang,” katanya. “Anda hanya perlu mengambil sebongkah kayu, membayangkan rupa seekor itik, kemudian potong sahaja segala yang tidak menyerupainya.”

Demikian halnya dengan Tuhan. Dia memandang anda dan saya—bongkah kayu yang kasar—membayangkan rupa Kristus muncul pada perempuan atau lelaki yang tersembunyi di sebalik kulit, kemudian mula memotong bonjol dan ranting yang tidak menyerupai imej Kristus. Kita mungkin terkagum jika kita dapat melihat betapa indahnya kita sebagai “itik” yang sudah diukirkan.

Tetapi pertama-tama kita perlu menerima bahawa kita umpamanya sebongkah kayu dan mengizinkan tukang kayu untuk memotong, membentuk dan menggosok serta melicinkan kita di mana sahaja. Itu bermaksud kita perlu memandang situasi kita—baik atau tidak baik—sebagai alat Tuhan untuk membentuk kita. Dia membentuk kita, bahagian demi bahagian, sehingga kita menjadi makhluk indah yang telah dibayangkan-Nya dalam bongkah kayu itu.

Ada kalanya proses itu indah; ada kalanya pula menyakitkan. Tetapi akhirnya semua peralatan Tuhan menjadikan kita seperti Anak-Nya (Roma 8:29).

Adakah anda ingin menyerupai Tuhan? Letakkan diri anda dalam tangan Tukang Kayu yang terhebat.