“Pada hari ini kita akan bermain satu permainan bernama Teladan,” kata seorang pengkhutbah kepada kanak-kanak yang mengelilinginya untuk mendengar khutbah. “Saya akan menamakan sesuatu dan kamu perlu melakonkannya. Siap sedia? Ayam!” Semua kanak-kanak mengepak-ngepak tangan mereka, sambil berkokok. Kemudian gajah, dan pemain bola dan penari balerina. Yang terakhir ialah Yesus. Walaupun kebanyakan kanak-kanak terhenti sejenak, salah seorang budak berumur 6 tahun dengan senyuman besar pada wajahnya terus membentangkan tangannya seluas-luasnya sebagai tanda menyambut. Semua orang pun bertepuk tangan.
Betapa senangnya kita lupa bahawa panggilan kita adalah menjadi seperti Yesus dalam situasi harian hidup ini. “Kerana kamu anak-anak Allah yang dikasihi-Nya, kamu mesti berusaha mengikut teladan-Nya. Hidup kamu harus dijiwai oleh kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita. Dia mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, sebagai suatu persembahan yang harum dan korban yang menyenangkan hati Allah” (Efesus 5:1-2).
Rasul Paulus memuji pengikut Yesus di Tesalonika kerana penyataan iman mereka walaupun dalam keadaan yang sukar. Paulus menulis, “Kamu mengikut teladan kami dan teladan Tuhan … Oleh itu kamu menjadi teladan kepada semua orang Kristian di Makedonia dan Akhaya” (1 Tesalonika 1:6-7).
Oleh sebab hidup Yesus dalam diri kita yang mendorong dan memampukan kita menjalani hidup kita mengikut teladan-Nya di dunia ini—dengan berita baik kasih Tuhan yang membuka tangannya untuk menyambut semua orang.