Semakin umur Yohanes, murid yang disayangi Yesus melanjut, ajarannya menjadi semakin pendek, dan berfokuskan kasih Tuhan dalam ketiga-tiga suratnya. Dalam bukunya Knowing the Truth of God’s Love (Mengenal Kebenaran tentang Kasih Tuhan), Peter Kreeft memetik suatu legenda yang mengisahkan bahawa salah seorang murid muda Yohanes datang kepadanya dengan keluhan, “Mengapakah anda tidak bercakap tentang perkara lain? Yohanes menjawab, “Kerana tidak ada perkara lain untuk dikatakan.”

Kasih Tuhan pasti merupakan pusat kepada misi dan mesej Yesus. Dalam penulisannya mengenai Injil, Yohanes mencatatkan, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16).

Rasul Paulus memberitahu kita bahawa kasih Tuhan merupakan pusat gaya kehidupan kita, dan dia mengingatkan kita bahawa, “baik kematian mahupun kehidupan, baik malaikat mahupun penguasa lain di angkasa, baik hal-hal yang berlaku sekarang mahupun pada masa yang akan datang; baik hal-hal yang di langit mahupun yang di bumi—tidak ada sesuatu pun di alam semesta yang dapat menghalang Allah mengasihi kita, seperti yang sudah ditunjukkan-Nya melalui Kristus Yesus, Tuhan kita” (Roma 8:38-39).

Kasih Tuhan sangat kuat, sentiasa hadir dan stabil sehingga kita berkeyakinan bahawa perkara yang baik itu merupakan anugerah daripada tangan-Nya, dan cabaran hidup boleh dihadapi dengan kekuatan-Nya setiap hari. Dalam segenap hidup, kasih-Nya adalah yang terpenting.