Evie merupakan salah satu anggota antara 25 orang remaja koir sekolah menengah pergi ke Jamaica untuk menyanyi, bersaksi dan menunjukkan kasih Tuhan kepada orang yang berasal daripada budaya dan generasi yang berbeza. Bagi Evie pula, mengikuti rombongan seperti itu adalah sangat bermakna dan penuh dengan sukacita.
Pada hari itu, koir mereka pergi ke sebuah rumah rawatan untuk bernyanyi dan melawat penghuni di sana. Selepas mereka bernyanyi, Evie duduk bersama seorang perempuan muda berumur awal 30-an. Apabila mereka mula bercerita, Evie berasa bahawa dia perlu bercerita tentang Yesus—siapa Dia dan apa yang dilakukan-Nya untuk kita. Dia menunjukkan beberapa ayat daripada Alkitab yang menjelaskan penyelamatan. Tidak lama kemudian, perempuan itu berkata bahawa dia mahu percaya kepada Yesus sebagai Penyelamatnya. Kemudian dia pun menjadi orang percaya.
Oleh sebab Evie membuat keputusan untuk memulakan perbualan tentang Yesus, kumpulan kami merayakan kelahiran seorang Kristian baru ke dalam keluarga Tuhan pada hari itu.
Markus 16:15 memberitahu kita bahawa apa yang dilakukan Evie sememangnya yang patut dilakukan oleh semua orang percaya. Inilah cara Markus 16:15 diungkapkan semula: “Pergi ke mana sahaja dan isytiharkan mesej tentang berita baik daripada Tuhan kepada semua orang.”
Semoga kita tetap mengkhabarkan keajaiban Injil ini kepada sesiapa pun dan di mana pun kita berada, agar orang boleh mendengar berita baik dan berkata “ya” kepada Penyelamat kita.