Pada 11hb September 2001, Stanley Praimnath sedang bekerja di tingkat 81 dalam Menara Selatan World Trade Center apabila dia melihat sebuah kapal terbang menghempas terus ke arahnya. Stanley berdoa dengan cemas sambil bercangkung di bawah sebuah meja untuk perlindungan: “Tuhan, saya tidak dapat melakukan apa-apa! Engkau berkuasa!”

Hempasan daripada kapal terbang itu amat dahsyat sehingga memerangkap Stanley di belakang runtuhan serpihan. Namun semasa dia berdoa dan berteriak meminta tolong, Brian Clark, seorang pekerja dari pejabat yang lain terdengar dan menyahut panggilan itu. Mereka mencari jalan melalui runtuhan dan kegelapan, akhirnya kedua-dua mereka mencari jalan keluar dengan menuruni 80 tingkat tangga sehingga ke tingkat bawah.

Apabila berhadapan dengan ancaman yang dahsyat, Daud meminta pertolongan daripada Tuhan. Dia mahu diyakinkan bahawa Tuhan dekat kepadanya apabila dia berhadapan dengan musuh di medan pertempuran. Daud memohon daripada lubuk hatinya, “Jadilah perlindungan yang kukuh bagiku, serta kubu yang kuat untuk melindungi aku … Ya Allah, janganlah jauhi aku, ya Allahku, cepatlah tolong aku” (Mazmur 71:3, 12).

Kita tidak dijanjikan pembebasan daripada semua situasi sukar yang kita alami. Tetapi kita boleh yakin bahawa Tuhan mendengar doa kita dan akan berjalan bersama kita melalui segala-galanya.