Saya suka roti prata telur, salah satu makanan yang diminati di negara Singapura. Oleh itu saya agak hairan apabila membaca bahawa seorang yang seberat 57 kg perlu berlari sejauh 8 km sejam selama 30 minit untuk membakar 240 kalori. Itu sama dengan satu keping roti prata telur.
Sejak saya mula bersenam di gim, semua angka yang ditunjukkan itu membawa makna yang baru bagi saya. Saya selalu bertanya: Adakah berbaloi untuk mengambil makanan yang sesedap ini tetapi mengandungi kalori yang tinggi?
Walaupun ia memang bijak untuk memerhatikan pengambilan makanan, ia lagi penting bagi kita untuk memerhatikan pengambilan media kita. Kajian mendapati bahawa apa yang kita tonton akan tinggal dalam fikiran kita untuk masa yang panjang dan mempengaruhi tingkah laku kita. Ia akan membawa “kesan pelekat”, melekat kepada kita seperti lemak degil yang sukar kita tanggalkan.
Dengan pelbagai jenis media yang mengelilingi kita hari ini, kita perlu menjadi pengguna yang bijak. Itu bukan bererti kita hanya membaca sastera Kristian atau hanya menonton wayang yang berkaitan dengan iman kita, tetapi kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita izinkan dilihat oleh mata kita. Mungkin kita boleh bertanya kepada diri kita: Adakah tontonan ini berbaloi dengan masa saya?
Dalam Filipi 4:8, rasul Paulus memberitahu kita, “Berikan makanan yang baik dan yang patut dipuji, perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat untuk mata dan fikiran kamu.” Inilah diet yang sepatutnya kita ambil oleh sebab apa yang telah dilakukan dan sedang dilakukan oleh Kristus dalam kita.