Apabila kami melihat jenazah bapa mentua dalam keranda di rumah pengebumian, salah seorang anak lelakinya mengambil tukul bapanya dan meletakkan di samping tangannya. Beberapa tahun kemudian, apabila ibu mertua saya meninggal, salah seorang anaknya meletakkan satu set jarum menjahit di bawah jarinya. Tindakan manis itu membawa penghiburan kepada kami kerana kami mengenang betapa kerapnya mereka telah menggunakan alat itu dalam hidup mereka.

Sudah tentu kami sedar bahawa mereka tidak akan memerlukan benda-benda itu dalam alam kekal. Kami tidak ada kekeliruan itu, seperti yang difikirkan oleh orang Mesir, bahawa peralatan, duit atau senjata yang dikuburkan dengan seseorang akan melengkapi mereka untuk hidup yang akan datang. Anda tidak dapat membawanya bersama anda! (Mazmur 49:17-18; 1 Timotius 6:7).

Tetapi kedua-dua mentua saya perlu bersiap untuk berhadapan dengan kekekalan. Persiapan itu telah dibuat beberapa tahun sebelum itu, iaitu pada masa mereka mempercayai Yesus sebagai Penyelamat mereka.

Perancangan untuk hidup yang akan datang tidak boleh bermula pada saat kematian kita. Setiap kita mesti mempersiapkan hati kita dengan menerima anugerah penyelamatan yang dimampukan oleh pengorbanan Yesus pada kayu salib.

Pada waktu yang sama, Tuhan juga sudah membuat persiapan: “Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal” (Yohanes 14:3). Dia telah berjanji untuk menyediakan tempat bagi anda, supaya anda boleh menikmati kekekalan bersama dengan Dia.