Cahaya matahari bersinar pada kolam renang di depan saya. Saya terdengar seorang pelatih berkata kepada seorang pelajar yang sudah lama di dalam air. Dia berkata, “Anda kelihatan penat. Apabila anda berada dalam air yang dalam dan kehabisan tenaga, cubalah merelakskan seluruh badan anda, dan anda akan mengapung di air.”

Ada situasi dalam hidup ini yang kita perlu menghabiskan tenaga mental, fizikal atau emosi dengan cara yang tidak tertahan. Daud menerangkan suatu masa apabila ancaman musuhnya menyebabkan dia merasakan kemarahan mereka. Dia perlu melepaskan diri daripada kesusahan yang sedang dialaminya.

Sementara dia sedang mengendalikan perasaannya, dia menemukan cara untuk berhenti memikirkan segala masalahnya. Dia berkata, “Serahkanlah kekhuatiranmu kepada TUHAN, maka Dia akan membela kamu” (Mazmur 55:23). Dia menyedari bahawa Tuhan akan menyokong kita apabila kita berani menyerahkan masalah kita kepada-Nya. Kita tidak perlu menguasai setiap situasi dan cuba menentukan kesudahannya—itu pasti memenatkan! Tuhan sedang menguasai setiap aspek kehidupan kita.

Daripada kita cuba melakukan segala-galanya dengan usaha kita sendiri, kita sememangnya boleh mendapat ketenangan dalam Tuhan. Ada kalanya ia semudah dengan meminta Dia mengendalikan masalah kita. Kemudian kita boleh berhenti, berehat dan mengalami kenikmatan kerana kita tahu bahawa Dia sedang memelihara kita.