Pada awal pekerjaan saya sebagai seorang penyunting Our Daily Bread (Pedoman Harian dalam bahasa Inggeris), saya perlu memilih ayat Alkitab untuk kulit buku renungan ini. Selepas beberapa waktu, saya mula tertanya-tanya sama ada semua pilihan itu akan membawa sebarang perbezaan.
Tidak lama selepas itu, seorang pembaca menulis dan menghuraikan bagaimana dia berdoa untuk anak lelakinya lebih daripada dua puluh tahun, namun anaknya masih tidak ingin mengenal Yesus. Kemudian satu hari anak itu melawatnya, dan dia membaca ayat pada muka hadapan buku renungan yang ada di mejanya. Roh Kudus menggunakan ayat itu untuk menginsafkannya, dan dia memberikan hidupnya kepada Yesus pada ketika itu.
Saya tidak dapat mengingat ayat itu atau nama wanita itu. Tetapi saya tidak akan melupakan betapa jelasnya mesej Tuhan kepada saya hari itu. Dia telah memilih untuk menjawab doa wanita ini melalui ayat yang telah dipilih hampir setahun lebih awal. Tanpa dihadkan oleh masa dan tempat, Dia sudah menyediakan saya mengalami keajaiban dalam hadirat-Nya melalui kerja saya dan firman-Nya.
Rasul Yohanes memanggil Yesus sebagai “Firman yang memberikan hidup” (1 Yohanes 1:1). Dia mahu supaya semua orang mengerti maksud itu. Dia menulis, “Kami memberitahu kamu tentang hidup sejati dan kekal, yang bersama-sama Bapa, dan yang sudah ditunjukkan kepada kami” (ayat 2). “Kami pun memberitahu kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar, supaya kamu bersama-sama kami” (ayat 3).
Tiada apa-apa keajaiban akan berlaku apabila kata-kata dituliskan pada kertas. Tetapi ada kuasa yang dapat mengubah kehidupan dalam firman Tuhan kerana ia mengarahkan kita kepada Firman yang memberikan hidup—Yesus.