Apabila sekumpulan pemimpin agama membawa seorang perempuan yang telah berzina untuk menghadap Yesus, mereka tidak tahu bahawa mereka sebenarnya sedang membawa perempuan itu untuk dilempari dengan rahmat Tuhan. Tujuan mereka adalah untuk memburukkan Yesus. Jika Dia memberitahu mereka untuk melepaskan perempuan itu, mereka boleh menuduh Dia melanggar Taurat. Tetapi jika Dia memerintahkan agar perempuan itu dihukum mati, orang ramai yang mengikuti-Nya akan melupakan kata-kata belas kasihan dan rahmat yang sudah diajar oleh-Nya.
Tetapi Yesus memutarkan tuduhan itu ke atas penuduh. Berdasarkan firman Tuhan, Yesus tidak menjawab mereka secara terus-terang, tetapi Dia mula menulis di tanah. Apabila pemimpin-pemimpin agama itu mula menyoal Dia, Dia mengajak sesiapa pun antara mereka yang tidak pernah berdosa boleh melemparkan batu pertama; kemudian Dia mula menulis di tanah pasir lagi. Apabila Dia mendongak ke atas sekali lagi, semua orang yang menuduh perempuan itu sudah meninggalkan tempat itu.
Pada ketika itu, cuma seorang sahaja yang layak melemparkan batu itu —Dia yang tidak berdosa—memandang perempuan itu dan memberinya belas kasihan. “Aku pun tidak menghukum kamu” kata Yesus. “Pergilah dan janganlah berdosa lagi” (Yohanes 8:11).
Jika hari ini, anda berada dalam keadaan yang memerlukan pengampunan kerana menghakimi orang lain, ataupun anda mengingini keyakinan bahawa tidak ada dosa yang di luar jangkauan rahmat-Nya, maka jadikan ini sebagai pendorong: Tidak ada sesiapa yang layak melemparkan batu pada hari ini; pergilah dan diubah oleh belas kasihan Tuhan.