Sahabat saya, Bob Horner merujuk kepada Yesus sebagai “Tuan Peringatan.” Ini baik kerana kita sentiasa meragu dan pelupa. Tidak kira berapa kali Yesus telah memenuhi segala keperluan orang yang datang kepada-Nya ketika Dia berada di dunia ini, para pengikut-Nya pada zaman awal tetap berasa takut bahawa mereka masih akan mengalami kekurangan. Setelah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka masih gagal untuk memahami maksud utama yang Tuhan ingin mereka ingat.

Ketika menyeberangi Tasik Galilea, para pengikut-Nya menyedari bahawa mereka lupa untuk membawa bekalan lalu membincangkan hal ini. Yesus bertanya kepada mereka, “Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul? Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat?” (Markus 8:17–18). Kemudian Dia memperingatkan mereka tentang peristiwa yang Dia telah memberi makan kepada lima ribu orang dengan lima ketul roti, dan para pengikut-Nya telah mengumpulkan sebanyak dua belas bakul lebihan makanan. Dia juga telah memberi makan kepada empat ribu orang dengan tujuh ketul roti, dan mereka mengumpulkan tujuh bakul lebihan makanan. Setelah itu “Yesus berkata, ‘Dan kamu masih belum faham juga?’ ” (ayat 21).

Pembekalan Tuhan yang luar biasa untuk keperluan jasmani manusia menunjukkan kebenaran yang utama—Dialah Roti Hidup dan tubuh-Nya akan “dibahagi-bahagikan” untuk semua orang.

Setiap kali kita makan roti dan minum sewaktu Perjamuan Tuhan, kita diingatkan tentang kasih Tuhan yang agung serta pembekalan yang diberikan-Nya kepada kita.