Di wilayah terpencil di negeri Ghana, tempat tinggal saya ketika kecil, ungkapan “Masa makan, tiada kunjungan daripada kawan” (Chop time, no friend) merupakan satu ungkapan yang umum. Orang tempatan menganggap bahawa adalah tidak sopan untuk berkunjung pada “masa makan” kerana makanan sering kali sukar untuk didapati. Ungkapan itu juga merujuk kepada jiran dan orang asing yang melawat pada masa itu.

Akan tetapi, di Filipina yang saya pernah menetap untuk beberapa waktu, meskipun anda berkunjung pada waktu makan tanpa pemberitahuan terlebih dahulu, tuan rumah tersebut akan mendesak anda makan bersama mereka tidak kira sama ada makanan itu cukup atau tidak. Setiap budaya adalah berbeza kerana masing-masing mempunyai kebaikannya sendiri.

Ketika bangsa Israel meninggalkan Mesir, Tuhan memberikan perintah-perintah tertentu untuk mengatur budaya mereka. Akan tetapi peraturan—malahan peraturan Tuhan—tidak pernah membawa perubahan kepada hati mereka. Jadi Musa berkata, “Oleh itu, mulai sekarang, taatlah kepada TUHAN dan jangan keras kepala lagi” (Ulangan 10:16). Dengan cara yang menarik, sebaik sahaja mengungkapkan cabaran itu, Musa menyebut topik tentang layanan bangsa Israel terhadap orang asing. TUHAN “memastikan agar anak yatim piatu dan balu diperlakukan dengan adil. Dia mengasihi orang asing yang tinggal bersama dengan bangsa kita; Dia memberi mereka makanan dan pakaian. Oleh itu, kamu harus mengasihi orang asing tersebut kerana kamu sendiri pernah menjadi orang asing di Mesir” (ayat 18-19).

Bangsa Israel melayani Tuhan yang “berkuasa atas semua tuhan lain dan semua kekuasaan” (ayat 17). Salah satu cara untuk menunjukkan bahawa mereka mengenal Tuhan adalah dengan mengasihi orang asing—orang yang berada di luar kebudayaan mereka.

Apakah makna di sebalik gambaran sederhana tentang sifat Tuhan ini bagi kita hari ini? Bagaimanakah kita boleh menunjukkan kasih-Nya kepada masyarakat terpinggir dan miskin di dunia kita?