Ketika saya dan isteri, Marlene melawat Muzium Kebangsaan Tentera Udara Mighty Eighth berhampiran bandar Savannah, Georgia, Amerika Syarikat, kami sungguh terharu terutamanya dengan pameran barang-barang tawanan perang, berserta pembinaan semula berek bagi kem tawanan tentera Jerman.

Bapa Marlene, Jim, pernah berkhidmat di Tentera Udara Kelapan untuk Amerika, yang dipanggil “Mighty Eighth.” Mereka menerbangkan pesawat yang membawa anggota tentera ke seluruh Eropah ketika Perang Dunia Kedua. Semasa perang tersebut, Tentera Udara Kelapan telah mengalami sejumlah 47,000 kecederaan dan lebih daripada sejumlah 26,000 kematian. Jim merupakan salah seorang askar yang ditembak jatuh dan ditahan sebagai tawanan perang. Sementara kami berjalan melalui pameran itu, kami teringat kembali kata-kata Jim mengenai kegembiraan penuh yang dirasainya bersama rakan-rakan tawanan perang yang lain pada hari mereka dibebaskan.

Pembelaan Tuhan terhadap orang yang tertindas dan pembebasan kepada para tawanan telah diisytiharkan dalam Mazmur 146. Pemazmur menggambarkan bahawa Tuhan “membela hak orang yang tertindas, dan Dia memberikan makanan kepada orang yang lapar.” Tuhan juga “membebaskan orang tawanan” (ayat 7). Semuanya layak menjadi alasan untuk meninggikan dan memuji Tuhan. Namun pembebasan yang terbesar adalah pembebasan daripada rasa bersalah dan keaiban kita. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas” (Yohanes 8:36).

Melalui pengorbanan Kristus, kita dibebaskan daripada tawanan dosa untuk mengalami sukacita dan kasih-Nya, serta pembebasan yang hanya dapat diberikan oleh pengampunan-Nya.