Pada tahun 1856, Charles Spurgeon, seorang pengkhutbah masyhur dari London, telah mengasaskan Kolej Pastor untuk melatih orang menyertai pelayanan Kristian. Pada hari ini, di puncak kolej itu dapat dilihat sebuah salib yang digenggam oleh tangan, dan tertulis satu ungkapan Latin, Et Teneo, Et Teneor padanya yang bermaksud “Aku memegang teguh dan aku dipegang erat.”
Dalam autobiografinya, Spurgeon menulis, “Inilah moto kolej kami. Kami … berpegang teguh kepada kayu salib Kristus dengan penuh keberanian … kerana Kayu Salib yang memiliki kuasa menakjubkan itu memegang kami dengan teguh. Keinginan kami adalah agar semua orang akan berpegang teguh kepada Kebenaran, dan dikuasai oleh Kebenaran; terutamanya kebenaran tentang Kristus yang disalibkan.”
Dalam surat Paulus kepada jemaah di Filipi, dia mengungkapkan kebenaran ini sebagai dasar hidupnya. “Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan, ataupun sudah menjadi sempurna. Tetapi aku terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Itulah tujuan Kristus Yesus menjadikan aku milik-Nya” (Filipi 3:12). Sebagai pengikut Yesus, kita menyampaikan mesej kayu salib kepada orang lain manakala Yesus memegang kita teguh dengan anugerah dan kuasa-Nya. “Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku” (Galatia 2:20).
Tuhan memegang kita dengan erat dalam genggaman kasih-Nya setiap hari—kita pula menyampaikan mesej tentang kasih-Nya kepada orang lain.
dan dikuasai olehnya.