Cade Pope, seorang budak lelaki berumur 12 tahun dari Oklahoma, Amerika Syarikat, telah mengirim sebanyak 32 pucuk surat dengan tulisan tangan—setiap surat ditujukan kepada setiap eksekutif yang bertugas dalam pasukan Liga Bola Sepak Amerika (NFL) di Amerika Syarikat. Dalam suratnya Cade menulis, “Saya dan keluarga merupakan peminat bola sepak Amerika. Kami bermain permainan bola sepak Amerika jenis fantasi dan menonton permainan [itu] pada setiap hujung minggu … saya bersedia untuk memilih dan menyokong salah satu pasukan NFL untuk seumur hidup saya!”
Jerry Richardson, pemilik pasukan bola sepak Amerika Carolina Panthers, juga membalas surat itu dengan tulisan tangannya sendiri. Ayat pertamanya berbunyi: “Kami berasa amat berbesar hati sekiranya anda memilih [pasukan] kami. Kami akan membuat anda berasa bangga.” Ayat-ayat seterusnya merupakan pujian yang diberikan Richardson kepada beberapa orang pemainnya. Suratnya itu bukan sahaja bersifat peribadi dan baik hati—ia juga satu-satunya respons yang diterima oleh Cade. Tidak hairanlah, Cade menjadi penyokong setia Carolina Panthers.
Dalam Mazmur 86, Daud meluahkan seruannya kepada Tuhan yang benar. Katanya, “Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu, kerana Engkau mengabulkan doaku. Tiada tuhan yang seperti Engkau, ya Tuhan” (ayat 7-8). Pengabdian kita kepada Tuhan lahir daripada sifat dan penjagaan-Nya ke atas kita. Dialah yang mengabulkan doa-doa kita, membimbing kita dengan Roh Kudus dan menyelamatkan kita melalui kematian dan kebangkitan Anak-Nya, Yesus Kristus. Dia layak mendapat pengabdian seumur hidup kita.
yang layak menerima penghormatan dan pengabdian kita.