Cikgu Joie memulakan program kanak-kanak itu dengan doa, kemudian bernyanyi bersama dengan mereka. Selepas dia memperkenalkan cikgu yang bernama Aaron, dia berdoa sekali lagi. Kini Emmanuel yang berumur enam tahun sudah tidak dapat duduk dengan tenang. Apabila Cikgu Aaron memulakan dan menamatkan masa bercerita dengan doa, Emmanuel bersungut: “Kita sudah doa empat kali! Saya tidak boleh duduk lama!”

Jika anda berfikir bahawa cabaran Emmanuel itu adalah sukar, maka bacalah 1 Tesalonika 5:17 yang berbunyi: “Berdoalah sentiasa” atau sentiasa mengekalkan hati yang berdoa. Malah sesetengah kita yang sudah dewasa juga boleh merasakan bahawa doa itu membosankan. Mungkin ini kerana kita tidak tahu apa yang hendak dikatakan atau tidak memahami bahawa doa adalah perbualan dengan Bapa.

Pada abad yang ketujuh belas, François Fénelon telah menulis beberapa ungkapan tentang doa yang telah membantu saya: “Luahkan kepada Tuhan segala isi hati anda, untuk melepaskan beban yang ditanggung, segala kesusahan dan kesenangan, seperti kepada seorang sahabat yang dikasihi. Beritahukan kepada-Nya segala kesukaran anda, sehingga Dia memberikan penghiburan; katakan kepada-Nya segala kegembiraan anda, sehingga Dia memberikan ketenangan; nyatakan kepada-Nya hasrat dan keinginan anda, sehingga Dia menyucikannya.” Sambungnya lagi, “Bercakaplah kepada-Nya tentang godaan yang anda hadapi, supaya Dia melindungi anda daripadanya; tunjukkan kepada-Nya hati anda yang luka, supaya Dia menyembuhkannya … Jika anda meluahkan segala kelemahan, keperluan dan kesusahan anda, maka anda tidak akan kekurangan perkataan lagi ketika berdoa.”

Semoga hubungan kita dengan Tuhan semakin intim agar kita ingin meluangkan lebih banyak waktu bersama-Nya.