Dalam kebanyakan budaya, tindakan seperti meraung, meratap dengan kuat dan mengoyakkan pakaian merupakan cara yang dapat diterima bagi seseorang untuk menyatakan kesedihannya atau bencana negara yang besar. Bagi orang Israel dalam Perjanjian Lama, tindakan yang sama itu dilakukan untuk menyatakan ratapan yang amat dalam serta pertaubatan kerana mereka telah meninggalkan Tuhan.

Pertaubatan yang boleh dilihat dari rupa luaran boleh menghasilkan kesan yang amat kuat sekiranya ia lahir daripada hati kita. Akan tetapi, tanpa tindak balas dalaman yang tulus kepada Tuhan, kita mungkin sekadar mengikut-ikut perbuatan orang lain, malah di kalangan saudara-saudara seiman kita.

Selepas bencana belalang memusnahkan tanah Yehuda, melalui nabi Yoel, Tuhan memanggil semua orang untuk bertaubat dengan tulus demi mengelakkan penghakiman daripada-Nya. “TUHAN berfirman, ‘Tetapi sekarang bertaubatlah dengan sungguh-sungguh dan kembalilah kepada-Ku dengan berpuasa, menangis, dan meratap’ ” (Yoel 2:12).

Kemudian Yoel menyeru mereka memberi respons daripada lubuk hati: “Biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian. Kembalilah kepada TUHAN Allah kamu. Dia penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni dan tidak suka menghukum” (ayat 13). Pertaubatan yang sebenar lahir daripada hati.

Tuhan ingin sekali agar kita mengakui dosa kita kepada-Nya dan menerima pengampunan-Nya supaya kita boleh mengasihi dan melayani Dia dengan sepenuh hati, jiwa, fikiran dan kekuatan kita.

Apa sahaja yang anda ingin katakan kepada Tuhan hari ini, luahkanlah—daripada lubuk hati anda.