Fasal 33 daripada Kitab Bilangan merupakan bab dalam Alkitab yang mungkin kita akan tinggalkan begitu sahaja tanpa membaca dan merenungkannya. Ini kerana bahagian ini mengandungi satu senarai panjang tentang perjalanan bangsa Israel dari Rameses, Mesir sehingga mereka tiba di lembah Moab. Namun ia adalah penting kerana bahagian itu sahaja yang disusuli dengan ungkapan: “Musa menuliskan … sesuai dengan titah TUHAN” (ayat 2, Alkitab TB) dalam Kitab Bilangan.
Mengapakah catatan ini disimpan? Adakah mungkin kerana senarai ini menyediakan satu rangka tentang penghijrahan bangsa Israel dari padang gurun, sehingga mereka mengimbas kembali perjalanan selama 40 tahun itu serta memperingati kesetiaan Tuhan di setiap lokasi persinggahan mereka?
Saya membayangkan seorang bapa berbangsa Israel yang sedang duduk berhampiran dengan unggun api, bersama dengan anak lelakinya, dia mengenang kembali sejarah lampau: “Ayah tidak akan pernah melupakan pengalaman di Refidim! Ketika itu, ayah sedang hampir mati kehausan, tiada apa-apa di sana, cuma ada pasir dan tumbuhan gurun sejauh ratusan kilometer. Kemudian Tuhan memerintahkan Musa mengangkat tongkatnya dan memukulkan tongkat itu pada sebuah batu yang keras. Dalam hati ayah berkata, Sia-sia sahaja; mana mungkin ada apa-apa yang dia dapat daripada batu itu. Akan tetapi, betapa terkejutnya ayah. Air terpancut keluar daripada batu tersebut! Air itu telah menghilangkan dahaga ribuan bangsa Israel. Ayah tidak akan melupakan hari itu!”(Lihat Mazmur 114:8; Bilangan 20:8-13; 33:14).
Cuba renungkan kembali kehidupan anda—pengalaman demi pengalaman—dan mengingati segala perbuatan Tuhan yang telah menyatakan kesetiaan dan kasih yang dijanjikan-Nya.