Obituari untuk Alan Nanninga, seorang lelaki di bandar saya, menyatakan dia sebagai “saksi Kristus yang sangat berbakti.” Artikel itu juga menyebut tentang kehidupan rumah tangga dan kerjayanya, serta kesihatannya yang merosot hampir sedekad lamanya. Ia menyimpulkan bahawa, “Sepanjang masa dia menerima rawatan di hospital, dia diberikan gelaran ‘Pesakit Yang Berdoa” sebagai satu penghormatan atas pelayanannya kepada pesakit-pesakit lain. Inilah contoh seseorang yang mendoakan orang lain dan berdoa bersama orang di sekelilingnya yang memerlukan penghiburan dan galakan, walaupun dia sendiri berada dalam penderitaan.
Beberapa jam sebelum Yudas mengkhianati Yesus, Yesus telah berdoa untuk para pengikut-Nya. “Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu” (Yohanes 17:11). Oleh sebab Yesus mengetahui apa yang bakal berlaku, Dia melihat melampaui Diri-Nya dan memberikan perhatian kepada para pengikut dan sahabat-Nya.
Pada saat kita mengalami penyakit dan penderitaan, kita ingin sekali didoakan oleh orang lain. Betapa membantu dan mendorongnya doa-doa sedemikian kepada kita! Namun semoga kita juga dapat melihat dan mendoakan orang lain di sekeliling kita yang berada dalam kesusahan seperti Tuhan kita.