Rasanya seperti saya berada di dalam air, bunyi menjadi sayup disebabkan oleh demam selesema dan alahan. Selama beberapa minggu saya bergelut untuk mendengar dengan jelas. Keadaan ini membuatkan saya sedar bahawa betapa berharganya pendengaran saya.
Samuel yang masih muda pasti juga tertanya-tanya tentang apa yang sedang didengarnya sambil berusaha untuk menahan rasa mengantuk, ketika dia dipanggil di rumah TUHAN (1 Samuel 3:4). Dia pergi kepada Imam Eli sebanyak tiga kali. Hanya pada kali yang ketiga, barulah Imam Eli sedar bahawa Tuhan sedang berfirman kepada Samuel. Pada masa itu “jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada TUHAN” (ayat 1), dan orang tidak mampu mengenal suara Tuhan. Akan tetapi Eli mengajar Samuel untuk memberi respons (ayat 9).
Pada zaman ini, Tuhan lebih kerap berfirman jika dibandingkan dengan zaman Samuel. Surat kepada bangsa Ibrani memberitahu kita, “Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi … tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya” (Ibrani 1:1-2). Dalam Kisah Rasul-Rasul 2, kita dapat membaca tentang kedatangan Roh Kudus pada hari Pentakosta (ayat 1-4), untuk membimbing kita memahami ajaran Kristus (Yohanes 16:13). Akan tetapi, kita perlu belajar untuk mendengar suara-Nya dan menjawab dengan ketaatan.
Seperti mana ketika saya menghidap selesema, kita tidak dapat mendengar dengan jelas kerana kita seolah-olah berada di dalam air. Kita perlu menguji untuk mengetahui jika apa yang kita fikirkan itu merupakan bimbingan daripada Tuhan, dengan membaca Alkitab dan berhubung dengan orang Kristian lain yang matang. Selaku anak-anak yang dikasihi Tuhan, kita dapat mendengar suara-Nya. Dia gemar mendedahkan kebenaran dalam kehidupan kepada kita.