Saya mengenali seorang pemuda yang mempunyai tabiat suka meminta petanda daripada Tuhan. Hal itu bukannya tidak baik, akan tetapi doanya sering terarah untuk mendapat kepastian tentang perasaannya. Sebagai contoh, dia akan berdoa seperti ini, “Tuhan, jika Engkau mahu saya melakukan perkara X, maka tolonglah lakukan perkara Y, supaya saya akan tahu bahawa semuanya berjalan dengan baik.”

Perkara sebegini menimbulkan dilema. Ini kerana cara dia berdoa dan berfikir bahawa Tuhan akan menjawab doanya, menyebabkan dia berasa bahawa dia patut kembali kepada bekas teman wanitanya. Namun, kemungkinan besar bekas teman wanitanya pula mempunyai perasaan kuat bahawa Tuhan tidak mahu mereka bersama-sama lagi.

Orang Farisi pada zaman Yesus meminta petanda daripada-Nya sebagai bukti bahawa Yesus sememangnya datang daripada Tuhan (Matius 16:1). Mereka tidak menginginkan pimpinan Tuhan; mereka mencabar ketuhanan-Nya. Yesus menjawab, “Generasi yang jahat dan penuh perzinaan sentiasa mencari petanda” (ayat 4). Respons Tuhan yang tegas ini bukanlah satu pernyataan yang menghalang sesiapa untuk memohon pimpinan Tuhan. Sebaliknya, Yesus mengatakan bahawa orang Farisi ini tidak mengendahkan nubuat-nubuat jelas dalam firman Tuhan, yang menunjukkan bahawa Dia ialah Mesias.

Tuhan mahu kita memohon pimpinan-Nya melalui doa (Yakobus 1:5). Dia juga memimpin kita melalui Roh (Yohanes 14:26) dan firman-Nya (Mazmur 119:105). Dia memberi kita para pembimbing dan pemimpin yang bijaksana, dan contoh terbaik adalah Yesus sendiri.

Hal meminta pimpinan yang jelas daripada Tuhan adalah bijak, namun Dia tidak selalu memberikan jawapan dalam cara yang kita harap atau inginkan. Mungkin tujuan utama mengenai doa adalah agar kita dapat belajar dengan lebih mendalam tentang sifat Tuhan serta mengeratkan lagi perhubungan kita dengan Bapa syurgawi.