Matt membuat keputusan untuk berjalan-jalan di luar kerana dia berasa agak terganggu dengan masalah berkaitan kerja dan rumah tangga. Udara segar pada waktu lewat petang musim bunga amat menyegarkan. Warna langit bertukar daripada biru kepada hitam, kabus tebal mulai meliputi kawasan paya. Bintang-bintang mulai bergemerlapan, menampakkan bulan purnama yang sedang kelihatan di arah timur. Pada saat itu, Matt berasa amat tersentuh secara rohani. Dia ada, fikir Matt. Tuhan ada, dan Dia ada untuk saya.
Apabila sesetengah orang melihat langit pada waktu malam, mereka hanya melihatnya sebagai sesuatu yang berkaitan dengan alam semula jadi. Mungkin ada orang sedar akan kewujudan Tuhan tetapi mereka berfikir bahawa Dia terlalu jauh dan berperasaan dingin seperti planet Jupiter. Namun Tuhan yang sama, “menguasai seluruh bumi” dan “ … menyuruh bintang keluar seperti pasukan askar, Dia tahu akan jumlahnya, dan memanggil nama setiap bintang!” (Yesaya 40:22,26). Dia sangat mengenal ciptaan-Nya.
Tuhan yang suka mendekati orang juga bertanya kepada umat-Nya, “Jika demikian, hai Israel, mengapakah kamu mengeluh, bahawa TUHAN tidak tahu akan kesusahan kamu, dan tidak mempedulikan hak kamu? Tidakkah kamu tahu? Belumkah kamu mendengar? … Dia menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya” (ayat 27–29).
Kita mudah terpengaruh untuk melupakan Tuhan. Masalah kita tidak akan selesai dengan berjalan-jalan pada lewat petang, tetapi kita boleh mendapat ketenangan dan kepastian dengan menyedari bahawa Tuhan selalu bekerja untuk tujuan baik. “Saya ada,” kata Tuhan. “Saya selalu ada untuk anda.”