Isteri saya masuk ke bilik dan mendapati saya menjulurkan kepala ke dalam jam berdiri kami. “Apa yang kamu buat?” tanyanya. “Bau jam ini sama seperti bau di rumah ibu bapa saya,” saya menjawab dengan tersipu-sipu sambil menutup pintu jam itu. “Anggaplah saya telah pulang ke rumah sekejap.”
Deria bau dapat mengembalikan memori-memori masa silam yang penting. Kami telah memindahkan jam tersebut dari rumah ibu bapa saya hampir dua puluh tahun yang lalu, tetapi aroma kayu pada jam itu masih membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak saya.
Penulis kitab Ibrani menceritakan peribadi-peribadi yang rindu untuk pulang ke rumah dengan cara yang berbeza. Daripada memandang kembali kepada masa silam, mereka lebih bertekad untuk memandang ke hadapan dengan iman untuk pulang ke rumah mereka di syurga. Walaupun apa yang diharapkan mereka seolah-olah perjalanan yang masih terlalu jauh, namun mereka tetap percaya bahawa Tuhan setia dalam mengotakan janji-Nya untuk membawa mereka ke tempat yang mereka akan kekal tinggal bersama-Nya (Ibrani 11:13–16).
Filipi 3:20 mengingatkan kita tentang “kewarganegaraan kita di syurga,” dan kita harus “dengan penuh harapan menanti-nantikan kedatangan Penyelamat kita, Tuhan Yesus Kristus dari syurga.” Dengan menanti-nantikan waktu untuk bertemu dengan Yesus dan menerima segala yang sudah dijanjikan Tuhan untuk kita melalui Dia, kita tidak akan mudah hilang tumpuan. Masa silam ataupun masa sekarang, tidak pernah setanding dengan apa yang ada di hadapan kita!