Ramai antara kita tergila-gilakan kemasyhuran—sama ada kita sendiri yang terkenal ataupun kita suka mengikuti setiap perkembangan hidup orang yang terkenal. Ada orang akan mencari buku yang terlaris dalam pasaran antarabangsa; menonton filem-filem popular; berharap untuk muncul dalam rancangan televisyen; atau mempunyai jutaan pengikut dalam akaun Twitter.

Dalam satu kajian di Amerika Syarikat baru-baru ini, para penyelidik membandingkan kedudukan nama-nama individu yang terkenal dengan menggunakan suatu pengiraan khas yang disebarkan di Internet. Nama Yesus terletak pada kedudukan tertinggi sebagai orang yang terkenal dalam sejarah.

Namun, Yesus tidak pernah berniat untuk meraih status sebagai seorang yang terkenal. Ketika Dia masih berada di bumi, Dia tidak pernah mencari kemasyhuran (Matius 9:30; Yohanes 6:15)—walaupun nama-Nya telah tersebar dengan cepatnya di seluruh daerah Galilea (Markus 1:28; Lukas 4:37).

Ke mana sahaja Yesus pergi, orang ramai pasti akan segera berkumpul. Mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya telah menarik ramai orang kepada-Nya. Akan tetapi apabila mereka memaksa Dia untuk menjadi Raja, Dia pergi seorang diri dari tempat itu (Yohanes 6:15). Oleh sebab Dia bersatu dengan Tuhan Bapa-Nya, maka Yesus mentaati segala kehendak dan waktu Bapa-Nya (Yohanes 4:34; 8:29; 12:23). “Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati—iaitu mati di atas salib” (Filipi 2:8).

Kemasyhuran tidak pernah menjadi matlamat kehidupan Yesus. Tujuan-Nya murni semata-mata. Sebagai Anak Tuhan, Dia telah menyerahkan Diri-Nya sebagai korban untuk mengampuni dosa-dosa kita dengan rendah hati, ketaatan dan kerelaan.