Pada setiap musim luruh, kami akan mengadakan pesta Kesyukuran di kampus Universiti Cornerstone. Para pelajar kami sangat menyukai acara ini! Pada tahun lalu, sekumpulan pelajar telah bermain satu permainan di meja mereka. Mereka mencabar satu sama lain untuk menyatakan kesyukuran masing-masing bagi sesuatu perkara—dalam masa lebih kurang tiga saat—tanpa mengulangi perkara sama yang sudah disebut oleh orang lain. Sesiapa sahaja yang tidak pasti untuk menjawab, akan serta-merta keluar daripada permainan tersebut.

Terdapat beberapa hal yang mungkin digeruni oleh seseorang pelajar—ujian, menepati tarikh akhir penyerahan tugasan, peraturan-peraturan dan banyak lagi aduan berkaitan hal-hal kolej. Akan tetapi para pelajar ini telah memilih untuk bersyukur. Saya berfikir bahawa mereka berasa jauh lebih selesa selepas bermain permainan tersebut berbanding jika mereka memilih untuk mengadu.

Walaupun sentiasa ada perkara yang menyebabkan kita mengadu, namun jika kita lihat betul-betul, sentiasa juga ada berkat-berkat untuk disyukuri. Ketika Paulus menerangkan pembaharuan kita dalam Kristus, sikap “bersyukur” adalah satu-satunya sifat yang disebutkan lebih daripada sekali. Malah ia disebutkan sebanyak tiga kali. “Bersyukurlah,” katanya dalam Kolose 3:15. Bernyanyilah kepada Tuhan “dengan perasaan syukur di dalam hati” (ayat 16). Dalam apa pun yang anda lakukan, lakukan demi Tuhan “sambil bersyukur kepada Allah Bapa” (ayat 17). Perintah Paulus untuk bersyukur adalah mengagumkan kerana dia sendiri telah menulis surat itu dari penjara!

Hari ini, marilah kita membuat keputusan untuk sentiasa bersyukur.