Berapakah jumlah wang yang diperlukan agar dianggap mencukupi? Kita mungkin akan menanyakan soalan ini semasa membeli-belah, suatu kebiasaan yang semakin meningkat di negara-negara maju. Saya merujuk kepada hari Black Friday, iaitu sehari selepas Hari Kesyukuran yang juga dianggap sebagai hari pertama bermulanya acara membeli-belah Krismas di Amerika Syarikat. Banyak kedai akan dibuka awal serta menawarkan diskaun yang menarik; hal ini juga sudah mula menular ke negara-negara lain. Ada pembeli yang terhad dari segi kewangan cuba membeli barangan dengan harga yang mengikut kemampuan mereka sahaja. Namun sedihnya, ketamakan menjadi motivasi bagi sesetengah pembeli, dan keganasan mula berlaku apabila mereka berebut-rebut untuk membeli barangan dengan tawaran yang terbaik.
Hikmat daripada penulis Perjanjian Lama yang dikenali sebagai “Si Pemikir” (Pengkhutbah 1:1) memberikan penawar untuk kegilaan yang mungkin kita hadapi di kedai membeli-belah—serta penawar untuk hati kita. Dia berkata bahawa mereka yang mencintai wang tidak pernah berasa cukup dan akan dikawal oleh harta benda mereka. Padahal mereka akan mati tanpa membawa apa-apa pun. “Kita pergi seperti kita datang” (5:15). Rasul Paulus menjelaskan perkara yang sama dalam suratnya kepada Timotius, apabila dia berkata bahawa sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan, dan kita seharusnya berusaha untuk “puas dengan apa yang dimiliki” (1 Timotius 6:6–10).
Sama ada kita hidup di tempat yang berkecukupan atau serba kekurangan, kita semua boleh mencari jalan yang tidak sihat untuk memenuhi kekosongan hati kita. Akan tetapi apabila kita memandang kepada Tuhan untuk mendapat kesenangan dan ketenangan hati, Dia pasti akan memenuhi kita dengan kasih dan kebaikan-Nya.
Augustine, The Confessions.