Menurut sebuah cerita yang berlaku kira-kira 75 sm, seorang bangsawan Roma pada tahun 75, yang bernama Julius Caesar. Dia telah diculik oleh lanun dan menjadi orang tawanan. Ketika lanun-lanun ini meminta 20 bongkah perak sebagai wang tebusan (bernilai lebih kurang RM 2.48 juta pada hari ini), Julius Caesar tertawa dan berkata bahawa lanun ini langsung tidak tahu siapakah dirinya. Dia menggesa mereka untuk menaikkan jumlah wang tebusan kepada 50 bongkah perak! Mengapa? Kerana dia percaya bahawa dirinya jauh lebih bernilai daripada 20 bongkah perak tersebut.

Betapa berbezanya cara penilaian Julius Caesar yang angkuh ini mengenai dirinya berbanding dengan nilai setiap kita yang sudah ditentukan oleh Tuhan. Nilai kita tidak tertakluk kepada nilai wang, melainkan pada apa yang sudah dilakukan Bapa syurgawi untuk kita.

Bagaimanakah Dia membayar tebusan untuk menyelamatkan kita? Melalui kematian Anak tunggal-Nya di atas kayu salib, Bapa telah membayar harga demi menyelamatkan kita daripada dosa. “Bayarannya bukanlah sesuatu yang dapat dimusnahkan seperti perak atau emas, tetapi korban yang sangat berharga, iaitu Kristus sendiri, yang menjadi seperti domba yang tidak bercacat cela” (1 Petrus 1:18–19).

Tuhan sangat mengasihi kita sehingga Dia rela memberikan Anak-Nya untuk mati di atas kayu salib, dan bangkit semula daripada kematian agar kita ditebus dan diselamatkan. Itulah nilai anda bagi-Nya.