Pada tahun 1932, ahli arkeologi, Alfonso Caso telah menemukan Kubur 7 di Monte Alban, Oaxaca, Mexico. Dia menemukan lebih daripada empat ratus artifak, termasuklah beratus-ratus bentuk batu permata zaman pra-Amerika Latin yang dipanggilnya sebagai “Harta Monte Alban.” Ia merupakan salah satu penemuan arkeologi Mexico yang besar. Bayangkan betapa gembiranya ketika Caso memegang sebuah cawan jed asli.

Berabad-abad tahun dahulu, pemazmur telah menulis tentang harta yang lebih bernilai daripada emas mahupun batu kristal. Katanya, “Janji-Mu membahagiakan aku, seperti orang yang menemukan harta” (Mazmur 119:162). Dalam Mazmur 119, penulis sedar bahawa betapa berharganya segala perintah dan janji Tuhan dalam kehidupan kita, oleh itu dia membandingkannya dengan harta besar yang dimenangi oleh penakluk dalam peperangan.

Nama Caso diperingati pada hari ini kerana penemuannya di Kubur 7. Kita dapat melihatnya jika kita melawat muzium di Oaxaca. Bagaimanapun, harta pemazmur dapat ditemukan dengan mudah. Setiap hari kita boleh menggali firman Tuhan serta menemukan janji, harapan dan kebijaksanaan yang seumpama batu-batu berlian berharga. Namun jauh lebih berharga daripada itu, adalah bahawa kita akan menemui peribadi yang dimaksudkan dalam Alkitab, iaitu Yesus Kristus. Dialah Penulis Alkitab yang sebenar.

Marilah kita mencari dengan tekun dan yakin, bahawa inilah harta yang akan memperkaya kita. Seperti yang dikatakan oleh pemazmur, “Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku” (Ayat 111).